Global Ehsan Relief ingin kembali ke Bangladesh, hulur bantuan lebih besar

COX’S BAZAR: Para pelarian yang terdesak berlari ke jalan raya dan mengerumuni kenderaan Global Ehsan Relief Singapore (GER) sebaik saja ia diberhentikan.




“Terdapat pelbagai orang – wanita tua, anak-anak kecil, lelaki yang cedera. Saya mengeluarkan kamera saya dan perkara pertama yang dirakam adalah seorang budak kecil yang mengetuk tingkap kami,” imbas seorang anggota GER Ameer Eusoffe 28 tahun.




Tanpa berfikir panjang, beliau membuka pintu kenderaan itu dan memberikan satu-satunya paket biskut yang beliau ada kepada kanak-kanak berkenaan.

Sejurus selepas itu, beliau dikerumuni orang ramai yang meminta dan mengharapkan bantuan.

“Kami tidak memiliki apa-apa ketika itu. Ia membuat saya menyedari bahawa apa yang boleh dilakukan seseorang itu agak terbatas sebenarnya,” tambah beliau yang mewakili GER, sebuah pertubuhan bukan pemerintah yang berada di Bangladesh sejak pertengahan bulan September untuk menghulurkan bantuan kepada para pelarian Rohingya.


Pasukan GER yang terdiri daripada 11 kakitangan berjaya mengumpul S$100,000 dalam masa lebih seminggu untuk pusingan pertama bantuan kemanusiaan itu.

Sokongan “luar biasa” itu adalah daripada orang rami dari pelbagai masyarakat di Singapura – termasuk pertubuhan Buddha Cina, kumpulan Sikh dan juga para pekerja Bangladesh, kata Ustaz Muhammad Faisal Bin Mohamed Ayub, 32 tahun, ketua projek pasukan bantuan tersebut.

GER mengagihkan lebih 1,000 pek bantuan keluarga yang mengandungi barangan makanan seperti beras, minyak masak dan keperluan dapur yang lain dan juga kit pembersihan serta bahan-bahan bagi mendirikan tempat perlindungan untuk para pelarian itu.


Seorang lagi anggota GER Encik Sufi dan Ustaz Faizal berharap dapat terus meningkatkan kesedaran dan mengumpul dana bagi pusingan bantuan seterusnya melalui video-video dan gambar-gambar yang diambil mereka.

GER berhara dapat mengumpul S$300,000 sebelum hujung bulan ini bagi pusingan bantuan seterusnya, kata Pengasas GER Basheer Ahmad bin Ali, 51 tahun.

Beliau menambah bahawa GER akan menghantar sebuah lagi pasukan ke Bangladesh untuk meneruskan usaha tersebut pada awal Oktober.

Ia juga merancang untuk membangunkan loji penyulingan air dan dapur yang boleh menyediakan 20,000 hidangan sehari.

Sementara itu, rakan NGO GER di Bangladesh terus mengagihkan bantuan pek bantuan makanan, selimut, pakaian dan kit pembersihan setiap minggu. 



8 views